t>

Breaking News

Kebakaran Di Wad ICU Hospital Sultanah Aminah Bukti Sistem Negara Ini Rosak Kata DAP.

Wakil rakyat DAP menggesa pihak berkuasa terbabit menyegerakan siasatan ke atas kebakaran di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru, hari ini.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang ketika menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa kebakaran itu berkata, kejadian sedemikian tidak sepatutnya berlaku di mana-mana hospital, khasnya hospital kerajaan.
“Kemudahan dan penyelenggaraan paling asas sepatutnya dipatuhi.
“Kami menuntut siasatan penuh dan segera kerana ini adalah petunjuk pelbagai sistem di negara ini mengalami kerosakan,” kata ahli Parlimen Gelang Patah itu pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau kemudiannya memberi tempoh 24 jam kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam untuk mengumumkan laporan penuh kebakaran yang meragut 6 nyawa itu.
“Jika menteri tidak memberi laporan penuh menjelang esok, saya akan serah 1 permintaan untuk beliau jelaskan situasi itu pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT).”
Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching turut meminta penjelasan berhubung kejadian itu, termasuk bila pemeriksaan menyeluruh dan latihan kebakaran terakhir dijalankan di HSA.
“Saya berharap Kementerian Kesihatan boleh memberi laporan lengkap secepat mungkin. Ini adalah hospital yang dikatakan memerlukan penambahbaikan segera.
“Beberapa soalan dibangkitkan susulan tragedi itu, contohnya jika kebakaran itu boleh dielakkan sekiranya peruntukan sewajarnya diberikan kepada hospital berkenaan.”
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Othman Abdullah dilaporkan berkata, 6 mangsa korban antara 7 pesakit kritikal yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), di mana kebakaran itu bermula sejurus selepas 9 pagi tadi.
“Di ICU itu ada 7 mangsa yang memang agak kritikal keadaannya yang difahamkan oleh doktor mereka terpaksa menggunakan bantuan pernafasan dalam keadaan normal, jadi pesakit-pesakit itu tidak boleh dipindahkan sekiranya tiada katil sekali,” katanya.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Sulaiman Salleh berkata, pihak berkuasa sedang menyiasat punca kebakaran dan siasatan awal menunjukkan ia mungkin berpunca daripada litar pintas.
Ini adalah kali kedua hospital dijilat api, selepas bilik kawalan kuasa di Hospital Pakar KPJ Damai, Sabah, terbakar hampir 90% yang memaksa 28 pesakit dipindahkan, pada 11 Julai lalu. - FMT