t>

Breaking News

7 Produk Kosmestik Dikesan Mengandungi Racun Oleh KKM, Termasuk Produk Datuk Vida.

Orang ramai ​​dinasihatkan untuk menghentikan penggunaan tujuh produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual dan segera mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan. 





Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata antara produk yang terlibat adalah produk Vida Beauty Sdn Bhd iaitu Qu Gebu AP Krim yang didapati mengandungi hydroquinone dan tretinoin. 


Katanya, produk Ezzueriche Wellness iaitu Night Glowing pula dikesan mengandungi merkuri dan Night Glow (hydroquinone dan tretinoin), produk Babiez Glow Skincare iaitu Glowing Speed Gold Day Cream dan Glowing Speed Gold Night Cream mengandungi merkuri dan begitu juga dengan produk Elsuhaz (M) Sdn Bhd iaitu Nour Ain Night Cream dan produk Ortus Expert Cosmetics iaitu Royal Expert Whitening Cream, kedua-duanya mengandungi merkuri. 

Dr Noor Hisham berkata penjual dan pengedar produk-produk kosmetik tersebut diberi amaran untuk menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta. 

"Penjual adalah diingatkan bahawa penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984," katanya. 

Katanya individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya. 

"Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya," tambahnya. 

Sumber : Bernama