t>

Breaking News

PAS Parti Tak Boleh Menang Kerana Bersendirian - Mat Sabu.


Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu melabelkan PAS kini sebagai parti ‘tidak boleh menang’.

Mohamad Sabu berkata sejarah politik di Malaysia telah menunjukkan bahawa mana-mana parti yang bertanding bersendirian dalam pilihan raya akan menemui kegagalan dalam perjuangan.

“Sekarang, akibat pergolakan politik, PAS kembali keseorangan. Dari sudut hukum pilihan raya, PAS tentu dah tak boleh menang.

“Kita masuk pilihan raya nak menang, melainkan kalau kita masuk pilihan raya dengan tujuan hanya nak bertanding,” katanya ketika menyampaikan ceramah di Dataran Tonggak 10 di sini, malam Sabtu.

Hadir sama Penasihat DAP Lim Kit Siang, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad, Pengarah Pilihan Raya PKR Datuk Saifuddin Nasution dan beberapa pimpinan Pakatan Harapan.

Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar adalah peluang untuk pengundi-pengundi PAS, terutama pengundi muda untuk melakukan perubahan.

Beliau juga meminta pengundi supaya tidak mensia-siakan undi dengan memilih PAS.

“Politik di Malaysia tak boleh bersendirian. ‘Sorry’lah…Abang Mat orang lama ni, bukan sehari dua dalam politik, umur 60 lebih, cuma nampak muda.


“Jika kita balik keseorangan, tak boleh menang, saya nak nasihat elok-elok ni, inilah peluang tuan-tuan nak berubah, saya harap semua ahli PAS di Sungai Besar ini jangan sia-siakan undi,” katanya.

Beliau turut memberi contoh kemenangan di Meru, Seri Kembangan, Bangi dan Paya Jaras adalah disebabkan faktor kepelbagaian kaum dalam Pakatan Rakyat yang mendokong satu perjuangan.

Mengimbas penglibatan PAS dalam politik di Selangor, Mat Sabu berkata, parti itu hanya berjaya memenangi kerusi pada pilihan raya  2008 dan 2013 ketika bergabung bersama PKR dan DAP.

“Masa PAS keseorangan di Selangor, selalu hilang wang taruhan, kalau tak hilang pun di Sabak Bernam dan Tanjung Karang.

“Ertinya kita (PAS) mula menang bila kita muafakat semua kaum. Bila ada Pakatan Rakyat, mula-mula kita menang lapan kerusi, kemudian 15,” katanya. -Mstar.