t>

Breaking News

Bela Doktor Gigi Palsu - PPIM Jadi Sasaran Kritikan Di Laman Sosial.

Baru sahaja berbaik-baik dengan cybertroopers UMNO selepas diserang bertubi-tubi oleh #KamiGengNajibRazak kerana mengkritik Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak dalam soal penubuhan JITN, kali ini PPIM sekali lagi menjadi sasaran di laman sosial selepas doktor gigi seluruh negara bersatu mengkritik NGO itu.


Baca : Geng Najib Razak Tempur Yusof Azmi PPIM Di Laman Sosial

PPIM dikecam kerana membela seorang wanita yang menyamar sebagai doktor gigi dan memperdayakan ramai orang. 

Fakta kes;

1. Pada 29 September, Nur Farahanis mengaku bersalah kerana menjalankan perniagaan klinik pergigian tanpa memiliki lesen dan kelayakan yang sah;
Tertuduh yang menjalankan klinik pergigian swasta di Bakti Homestay, Jalan Bukit Katil pada 25 Januari yang lalu dilaporkan tidak didaftarkan mengikut Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Dia yang didakwa melanggar undang-undang berkenaan telah didakwa di bawah subseksyen 4(1) Akta 586 dan boleh dihukum mengikut subperenggan 5(1)(a)(i) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM300,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
2. Wanita itu kemudiannya dijatuhkan hukuman denda sebanyak 70,000 Ringgit Malaysia bagaimanapun gagal membayar denda tersebut kerana tidak mampu;

3. Farahanis kemudiannya menjalani hukuman penjara 6 bulan sebagai gantirugi berikutan gagal membayar denda yang telah ditetapkan oleh hakim mahkamah rendah;

4. Farahanis berusia 20 tahun dan adalah graduan sebuah kolej vokasional;

5. Semasa hakim menjatuhkan hukuman, dilaporkan wanita itu menumbuk dinding kerana berang akan hukuman yang dikenakan ke atas beliau. Ia kemudiannya menjadi tajuk berita di beberapa buah portal, media tempatan. Wanita itu juga turut dikecam di laman sosial oleh rata-rata netizens yang membaca berita itu.


6. Bagaimanapun wanita itu kemudiannya dikat-jamin oleh dua NGO iaitu PPIM dan PPEM sebanyak 70,000 bagi membebaskan beliau dari tahanan penjara Sungai Udang selepas 6 hari menjalani tempoh hukuman penjara. Turut difahamkan kutipan dana dibuat bagi membantu membebaskan wanita tersebut.

7. "Farahanis ialah wanita bijak yang membantu rakan-rakannya untuk membetulkan braces (yang dipakai oleh rakan-rakannya) hasil dari apa yang dia (Farahanis) belajar melalui Youtube," kata Datuk Nadzim Johan seperti memetik laporan News Strait Times.

"Kami rasa kami perlu menolongnya dan kami percaya ada beberapa sebab lain yang baik untuk membantu dirinya. Saya taknak ulas tentang denda (hukuman) yang dijatuhkan ke atas beliau cuma saya rasa kami patut menolong seseorang yang sedang berusaha untuk membebaskan diri dari kemiskinan dan cabaran hidup," katanya seperti dalam laporan tersebut.

"Tambahan pula beliau masih muda dan tidak pernah melakukan jenayah dan wajar diberi peluang kedua", katanya lagi.
Bahaya doktor gigi palsu! 
Kementerian Kesihatan bimbang dengan kewujudan doktor gigi palsu dan perkhidmatan pergigian haram yang semakin berleluasa di negara ini akibat kurang kesedaran di kalangan orang ramai.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang dipetik Sin Chew Daily berkata, kerajaan memandang serius masalah itu kerana semakin ramai pesakit yang mendapat perkhidmatan haram itu mengadu kepada Kementerian Kesihatan dengan mendakwa rawatan berkenaan menyebabkan mereka mengalami kesan dan komplikasi serius.
Katanya, antara rawatan perkhidmatan haram itu adalah mencabut gigi, membuat gigi palsu, ortodontik, penskaleran dan penggilapan gigi (cuci gigi) dan “whitening strips”.
Beliau berkata, pesakit yang mendapat perkhidmatan pergigian haram boleh mengalami kesakitan dan jangkitan seperti ulser mulut, gigi longgar atau rosak, gusi bengkak dan bernanah, selain berisiko dijangkiti AIDS dan hepatitis, jika peralatan yang digunakan tidak disteril dengan baik.

Luahan oleh doktor gigi ;
Oleh : Iqbal Rosali
Hari paling menyedihkan sepanjang aku jadi doktor gigi. Orang yang menipu dalam perkhidmatan pergigian, dibantu untuk dibebaskan oleh persatuan yang sepatutnya membela pengguna.
MEMALUKAN.
Macam mana penipu ini boleh dibantu bayarkan denda? Kenapa tak bantu ORANG-ORANG YANG KENA TIPU DENGAN BUDAK NI? Tak habis-habis kau nak kata kami kejar KPI. Budak ni buat salah, kau reti bahasa ke tidak?
Belajar pasang braces ikut youtube? Kau gila? Lepas tu caj bukan main mahal. Sesuka hati buka klinik gigi tak ada lesen. KAU INGAT KITORANG NI TUNGGUL KE APA?? BELAJAR MACAM NAK MATI UMUR 24 BARU JADI DOKTOR GIGI, TAPI BUDAK NI UMUR 20 DAH ADA KLINIK GIGI??
KAU INGAT KELUARGA DIA NI JE YANG MISKIN??
Duit 70 ribu tu boleh bantu orang lainlah weh. Persatuan pengguna apa benda kalau bantu PENIPU??
Kesian mangsa yang kena tipu dengan budak ni.
Kesian doktor gigi kena maki.
Kesian 70 ribu boleh disalurkan untuk rawatan kanser.
Kesian persatuan pengguna dah terpesong hala tuju.
Kesian geng bikers kena kelentong.
PPIM padamkan laporan berita di web rasmi
Tiada lagi berita tentang bantuan PPIM ke atas doktor gigi palsu di website rasmi milik PPIM. 
Selepas menjadi sasaran kritikan di media sosial terutamanya dari mereka yang datangnya dalam bidang perubatan dan kesihatan, penulis melakukan semakan di website PPIM dan mendapati link berita tentang bantuan PPIM kepada doktor gigi palsu itu tidak dapat diakses lagi.
Bagaimanapun berita tersebut masih lagi boleh diakses secara bebas di portal News Strait Times. - Sozcyili.
Rujukan :